Vaksin: 4.68 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar di MySejahtera

0
2

SERAMAI 4,680,645 rakyat Malaysia sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, hari ini adalah hari ke-16 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi penerima vaksin pertama bersama petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Februari lalu.

“Negeri yang paling tinggi mendaftar adalah Selangor dengan sejumlah 1.5 juta pendaftaran diikuti Kuala Lumpur (372,974) dan Kedah di tempat ketiga dengan 267,452 pendaftaran.

“Manakala bagi penerimaan vaksin pula, Sarawak menjadi negeri tertinggi penerima dengan sejumlah 27,500 orang, diikuti oleh Selangor dengan 19,251 dan Kuala Lumpur dengan 16,887 penerima,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata proses pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi orang ramai dilaksanakan dengan konsep sukarela.

Katanya, mereka boleh berbuat demikian menerusi lima kaedah termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya tiada MySejahtera, orang ramai boleh mengakses laman sesawang (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19-JKJAV) yang dilancarkan perdana menteri,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here