Isu darurat: Guang Eng akan dipanggil beri keterangan esok

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng akan dipanggil polis esok bagi siasatan kes berkaitan kenyataan bersama Pakatan Harapan (PH) mengenai pengisytiharan darurat.

Peguamnya, RSN Rayer mengesahkan wawancara itu akan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Pulau Pinang.

Memetik laporan Malaysikini, pasukan polis dari Bukit Aman akan menyoal Guan Eng. Siasatan terhadap Guan Eng pertama kali dilaporkan pada 23 Februari lalu.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut disiasat berkaitan kenyataan sama pada 26 Februari.

Kedua-dua pemimpin itu, bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, menandatangani bersama kenyataan pada 12 Januari.

Dalam kenyataan itu, pemimpin PH tidak setuju dengan keputusan parti pemerintah untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

“Majlis Presiden mengambil pendirian menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan (Perdana Menteri) (Tan Sri) Muhyiddin Yassin bahawa kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari Covid-19.

“Kami berpendapat bahawa undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumum semalam, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini,” kata kenyataan itu.

PH juga berkata, tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat ketika dia kehilangan sokongan majoriti anggota parlimen, termasuk Machang dan Padang Rengas, tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin menjelaskan pengisytiharan darurat yang juga menggantung parlimen, adalah perlu untuk memerangi wabak Covid-19.

Muhyiddin juga berjanji akan mengadakan pilihan raya sebaik wabak Covid-19 dapat ditangani. Darurat tamat pada Ogos.

Pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Seri Paduka Baginda turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/26/pertikai-proklamasi-darurat-anwar-selesai-beri-keterangan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here