Zahid mengaku tidak bersalah pertuduhan pindaan

0
3
zahid hamidi

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, atas satu pertuduhan pindaan bagi pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi. 

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan semula kepada Ahmad Zahid, 68, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan ke-27. 

Pertuduhan pindaan itu membabitkan penambahan bilangan cek daripada 30 keping berjumlah RM6,885,300 kepada 35 keping berjumlah RM7,511,250. 

Sejurus pertuduhan pindaan dibacakan, Ahmad Zahid berkata: “Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya. Terima kasih. Tidak mengaku,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian. 

Mengikut pertuduhan pindaan, Ahmad Zahid didakwa melakukan pengubahan wang haram, iaitu melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram dengan mengarahkan Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek. 

Cek tersebut didakwa kemudian diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram. 

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Marhaba Enterprise, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur antara 29 Mac dan 15 Julai 2016. 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama. 

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi. 

Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – Malaysiapost

.

Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/03/08/pertuduhan-kes-pecah-amanah-ke-6-terhadap-zahid-tak-berasas-peguam/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here