Nurul Huda Abhar
“NEGARA kita masih lagi terperangkap di dalam kancah politik wang,” kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq berkata, beliau terpanggil untuk mengulas sebuah tajuk berita ‘Percepatkan undang-undang dana politik’ yang digesa oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.
“Hal ini sangat dekat dengan usaha yang telah saya lakukan selama ini dan saya benar-benar menyokong agar sebuah undang-undang pendanaan politik dapat digubal dengan segera.
“Isu integriti, ketelusan dalam politik serta menginstitusikan proses pendanaan politik kepada ahli politik dan parti politik harus dijadikan fokus utama negara berkaitan hal-hal membanteras salah laku rasuah,” kata Syed Saddiq di laman sesawang miliknya, hari ini.
Beliau berkata, walaupun perbincangan berkenaan undang-undang pendanaan politik tidak dibincangkan dengan popular berbanding isu-isu lain, hal tersebut telah memberi pengaruh besar kepada integriti dan proses negara ini mengamalkan politik.
“Bilionair dan taikun besar terus menjadi kiblat politik negara. Wang menjadi kompas, bukan khidmat dan kemahuan rakyat yang diangkat.
“Saya percaya bahawa negara ini perlu berubah dan melangkah ke depan. Gesaan dari Datuk Seri Azam Baki ini harus disambut dengan segera sehinggalah ia dibawa untuk perbentangan di dalam Parlimen.
“Saya percaya pada prinsip ketelusan integriti dan semangat bilateralisme. Mana-mana parti politik dan ahlinya harus tertakluk kepada sebuah undang-undang yang dapat mengawal proses pendanaan parti,” ujarnya lagi.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, seruan yang dibuat bukanlah perkara baharu kerana kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah bersedia dan sudah ada rancangan untuk membentangkan hal itu ke Parlimen.
Katanya, sudah tiba masa sistem perundangan negara memantau tegas hal-hal pendanaan politik kepada setiap ahli politik termasuklah dirinya sendiri dan juga parti-parti politik yang lain. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/08/saya-bukan-pergi-bercuti-tetapi-belajar-syed-saddiq-2/

