Pemuda Umno Sabah menyatakan pendirian menyokong keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamakan Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) dan Umno Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketuanya, Abdul Aziz Julkarnain, berkata Pemuda Umno Sabah berikrar untuk mempertahankan sebarang keputusan parti selain memastikan seluruh jentera akar umbi bekerja kuat menghadapi PRN.
“Pemuda BN perlu bersedia dalam merancang dan memperhalusi segala gerak kerja bagi menghadapi PRN kali ini. Fokus harus diberikan dalam perkara ini dan mengalahkan Parti Warisan Sabah (Warisan) perlu menjadi wadah utama.
“Justeru, Pemuda Umno Sabah menyeru semua pihak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan dan kita terus bergerak bersama bagi memperjuangkan nasib serta kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan bantahan terhadap pelantikan Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Umno dan BN bagi PRN Sabah.
Bantahan itu disuarakan Ketua Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bersama 12 pemimpin Umno Sabah yang lain dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Abdul Rahman dilaporkan berkata pelantikan Bung Moktar boleh menjejaskan peluang Umno dan BN memenangi PRN Sabah kerana beliau berdepan dengan kes mahkamah.
Abdul Rahman turut mempertikaikan kewajaran Ahmad Zahid yang katanya tidak berbincang dengan semua pemimpin Umno negeri sedangkan Umno Sabah sudah diberi autonomi untuk membuat keputusan berkaitan parti di negeri itu.

