MUAFAKAT Nasional (MN) Selangor bersolidariti menolak pelantikan jawatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) sebagaimana agihan ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini.
Perkara tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan bersama Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi semalam.
Menurut kenyataan itu, PAS menolak jawatan PeKT dengan tidak mencalonkan nama, bagaimanapun Umno yang menghantar nama sebelum ini turut mengambil keputusan sama untuk menolak jawatan PeKT yang ditawarkan sebagai tanda solidariti terhadap PAS.
Katanya, kedua-dua parti terbabit berpendapat jawatan dalam kerajaan bukanlah tawar-menawar tetapi lebih kepada menjaga kebajikan rakyat.
“Malah jawatan itu bukan dipergunakan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu,” kata kenyataan itu.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan PeKT di semua negeri yang dikuasai kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Perjawatan itu ditubuhkan bagi membantu kerajaan persekutuan untuk mendapatkan maklumat serta menyelesaikan masalah penduduk di sesebuah kawasan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan :

