TUJUH tahun sudah berlalu, namun waris penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 itu masih tidak berhenti berharap.
Bagi seorang bapa, Selamat Omar, 66, dia masih mengharapkan keajaiban bahawa anaknya, Mohd Khairul Amri Selamat yang merupakan seorang jurutera bersama 238 anak kapal serta penumpang pesawat berkenaan, pulang pada satu hari nanti.
Menurut Selamat, dia amat berharap kerajaan terus berusaha mencari dan merungkai misteri kehilangan pesawat terbabit.

“Tiada khabar yang saya harapkan selain pencarian semula pesawat terbabit.
“Ini dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi waris mangsa yang hingga kini masih tertanya-tanya akan nasib yang menimpa mereka,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Selamat juga mengakui tempoh tujuh tahun merupakan penantian yang cukup mendebarkan keluarganya selama ini.
“Saya dan keluarga berdoa agar kehilangan anak akhirnya mendapat jawapan,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia mendapat panggilan daripada pihak Malaysia Airlines (MAS) adalah pada tahun lalu.
Khairul Amri merupakan anak ketiga dari empat beradik.
Pada malam 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China hilang daripada imbasan radar kira-kira dua jam setelah berlepas.
Berikutan itu, operasi pencarian besar-besaran melibatkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi tetapi gagal menjejaki pesawat mahupun serpihan pesawat itu.
Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan kerajaan bersedia memulakan sebarang perbincangan bagi meneruskan pencarian semula pesawat MH370 yang hilang secara misteri sejak 8 Mac 2014 lalu.
Beliau berkata, pihaknya bersedia meneruskan kerjasama triparte dengan kerajaan Australia dan China untuk menjejaki lokasi kehilangan pesawat yang dinaiki 239 penumpang termasuk kru kabin pada tujuh tahun lalu. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

