Vaksin Covid-19: Pengamal media mungkin antara penerima terawal

0
3

JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (Jkjav) akan membuat pengumuman mengenai status permohonan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (Nujm) agar pengamal media menjadi antara golongan penerima terawal mendapatkan suntikan vaksin.

Pengerusi Bersama Jkjav, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa kecil untuk meneliti permohonan Nujm supaya pengamal media diberikan keutamaan untuk menerima vaksin Covid-19 lebih awal.

“Buat masa ini Jkjav belum menyenaraikan media sebagai penerima fasa pertama pelalian di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana perkara berkenaan masih di peringkat penelitian.

“Namun, saya yakin keputusan muktamad mengenai permohonan memasukan pengamal media sebagai golongan yang patut diberikan keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan dalam mesyuarat Jkjav tidak lama lagi,” katanya semalam.

Khairy membuat kenyataan itu ketika di sidang media khas mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), semalam.

PICK dilaksanakan dalam tiga fasa dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Pendekatan kerajaan melalui program imunisasi itu adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

Hampir 140,000 individu sudah divaksin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here