PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang ditamatkan hari ini.
Penamatan itu lebih awal dari tarikh yang dijadualkan iaitu 15 Mac ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di keempat-empat Felda terbabit yang dijadualkan tamat pada 15 Mac 2021.
Menurutnya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 471 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif hanya satu kes telah dilaporkan yang melibatkan lokaliti berkenaan.
“KKM mengesahkan kes positif hanya dikesan dalam Felda Ulu Jempol dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenalpasti, disampel dan diasingkan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 Dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang pada hari ini iaitu lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi pelaksanaan kuarantin wajib terhadap individu yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa, seramai 983 individu yang tiba ke Malaysia semalam dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
Beliau berkata, secara kumulatif, sejak 24 Julai 2020, seramai 140,154 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 80 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 7,477 individu telah dikuarantin dan seramai 131,774 orang dibenarkan pulang manakala 903 lagi dibawa ke hospital kerana positif Covid-19,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata seramai 3,629 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan daripada jumlah itu, 56 orang didapati positif.
“Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 589,220 pekerja warga asing telah menjalani ujiaVID-19 yang melibatkan 30,800 majikan.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,381 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 579,839 lagi adalah negatif,” katanya. – Malaysiapost

