DATUK Dr Mohd Radzi Md Jidin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan buat calon Sijil Tinggil Pelajaran Malaysia (STPM) yang bermula hari ini.
Menteri Kanan (Pendidikan) itu berkata, peperiksaan hari ini akan bermula dengan STPM Ulangan Semester 2 2020.
“Kepada semua calon STPM yang akan menduduki peperiksaan bermula hari ini, pak cik doakan semoga semuanya berjalan lancar.
“Peperiksaan hari ini akan bermula dengan STPM Ulangan Semester 2 2020. Kemudian, diikuti dengan STPM Ulangan Semester 1 2020 dan STPM Semester 1 2021 bermula 16 Mac 2021.
“Manakala, bagi calon yang menduduki STPM Semester 3 2020, peperiksaan akan bermula 5 April 2021,” kata beliau menerusi hantaran Facebook, pagi ini.
Beliau berkata, sudah semestinya setiap calon telah membuat persediaan terbaik mengambil kira pelbagai cabaran dan kekangan yang ditempuhi sepanjang tempoh sukar setahun lalu.
Kata Mohd Radzi, kini susuli segala usaha yang telah dilakukan dengan berdoa dan bertawakal serta sentiasa patuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika peperiksaan berlangsung.
“Tenang, fokus dan yakinlah bahawa anak-anak telah berusaha sebaik mungkin. Berikhtiar dan berusaha, berdoa serta bertawakal. Pak cik yakin anak-anak boleh melakukannya.
“Apapun, jangan lupa patuhi semua SOP yang telah ditetapkan ya!,” ujarnya lagi,
Januari lalu, Mohd Radzi mengumumkan hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama bagi tahun 2020 dan 2021 dibenarkan mengikuti pembelajaran secara bersemuka di sekolah dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 20 Januari lalu.
Mereka yang perlu ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran bersemuka ialah calon peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara. -Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2020/11/08/kpm-pinda-tarikh-spm-svm-stpm-stam/

