PKPD di Kampung Tringgus bermula tengah malam ini

0
2

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kampung Tringgus, Bau, Bahagian Kuching, Sarawak bermula esok susulan peningkatan kes Covid-19 di kampung berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan telah melaksanakan 596 ujian saringan di kampung berkenaan dan daripada jumlah itu sebanyak 37 kes positif telah direkodkan.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Tringgus, Bau, Bahagian Kuching, Sarawak bermula 8 Mac sehingga 21 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Ismail Sabri turut memaklumkan, mengenai pelanjutan PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah yang sepatutnya dijadualkan tamat esok.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 319 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 26 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan masih terdapat 181 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan kes-kes positif masih dilaporkan di lokaliti ini dan susulan itu kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di kawasan terbabit bermula 9 hingga 22 Mac depan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan mengenai penamatan PKPD di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Bahagian Kuching, Sarawak.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 368 ujian saringan di kampung berkenaan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 28 kes telah direkodkan.

“KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di kampung berkenaan bermula esok seperti yang dijadualkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here