Awas pemilik ‘hon tenonet’ anda boleh disaman RM2,000, penjara 6 bulan

0
2

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor kini mengadakan Operasi Penguatkuasaan Hon Melebihi Satu Nada atau Berirama di sekitar Selangor.

Operasi dijalankan berdasarkan aduan mengenai pemasangan hon berirama melebihi satu nada atau dikenali ‘hon tenonet’ yang semakin trending digunakan kenderaan terutama lori dan bas.

JPJ Selangor melalui laman Facebook rasminya hari ini, memaklumkan penggunaan hon yang melebihi satu nada atau nada berirama boleh mengelirukan pengguna jalan raya lain tentang isyarat yang ingin disampaikan serta boleh menggangu ketenteraman awam sekiranya dibunyikan di kawasan perumahan.

“Penguatkuasaan terhadap kenderaan yang memasang ‘hon tenonet’ secara aksesori (retrofit) telah diambil tindakan saman di bawah Kaedah 24(i) Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu memasang hon melebihi satu nada.

“Kesalahan ini boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan di bawah Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Menurutnya, kenderaan yang memasang ‘hon tenonet’ itu juga telah diambil tindakan dengan pengeluaran Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1).

“Pemilik kenderaan perlu hadir pemeriksaan di mana-mana Pejabat JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan telah dibuat tindakan pembetulan dengan membuang semula hon tenonet yang dipasang dan Notis Penarikan Semula Larangan Penggunaan Kenderaan (PG2) akan dikeluarkan selepas pemeriksaan kenderaan dibuat.

“Kompaun juga perlu dijelaskan atau kes akan dibawa ke mahkamah bagi tindakan lanjut,” katanya.

JPJ Selangor memaklumkan penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/07/jpj-buru-pemilik-motosikal-dibonceng-pelajar-hina-guru/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here