POLIS menahan 12 individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di gelanggang futsal di Taman Perindustrian, Subang kelmarin.
Kesemua mereka ditahan sepasukan polis dari Cawangan Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Subang Jaya.
Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerusi kenyataan di Facebooknya, semua individu tersebut ditahan di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, USJ 8, Subang Jaya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata insiden pada kira-kira jam 10.30 malam itu disyaki berlaku akibat perselisihan faham dan pergelutan antara dua kumpulan ketika perlawanan persahabatan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 19 tahun melakukan terjahan keras terhadap pemain pasukan lawan berusia 22 tahun ketika perlawanan.
Seorang lelaki berusia 29 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan itu telah dipukul oleh kira-kira 10 orang, mengakibatkan dia cedera di kening, muka dan calar di bahagian badan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu daripada dua individu yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Semalam tular di media sosial dua video yang memaparkan insiden pergaduhan di gelanggang futsal oleh sekumpulan lelaki.
Sementara itu, media melaporkan pergaduhan itu turut melibatkan seorang youtuber bersama beberapa rakannya yang didakwa memukul seorang lelaki di gelanggang futsal tersebut. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/07/gaduh-di-gelanggang-futsal-polis-cari-beberapa-individu/

