‘Katak selesa seberang jalan, burung belatuk kekenyangan belakang rumah’ – Zahid

0
1

Demi menyelamatkan diri, sanggup jadi katak, burung belatuk

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyindir bekas pemimpin parti itu yang disifatkannya sebagai ‘katak yang kini selesa di seberang jalan’ demi menyelamatkan diri sendiri.

Beliau juga berkata, terdapat juga pemimpin dalam parti umpama ‘burung belatuk yang sedang kekenyangan dapat dedak di belakang rumah.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu golongan tertentu sengaja mereka propaganda kononnya sebahagian pemimpin Umno kini yang enggan menggadaikan parti tersebut, mahu menyelamatkan diri daripada pendakwaan mahkamah.

“Sedangkan pemimpin Umno ‘kluster mahkamah’ inilah yang berani dan setia memperjuangkan Umno walau apa menimpa mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Zahid berkata usaha untuk memulihkan Umno selepas ‘dilanda badai fitnah’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bukanlah suatu kerja yang mudah.

“Kiri kanan, depan belakang, atas bawah musuh tidak pernah berhenti cuba menyekat. Musuh nyata sudah pasti. Musuh tidak nyata berselindung dalam kesamaran penuh hasutan.

“Musuh tahu Umno parti keramat bangsa, agama dan parti terbesar umat Melayu mampu bangkit semula.

“Kerana itu mereka berusaha gigih menghancurkan Umno ‘once and for all’ sejak dua tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, usaha itu tidak pernah berjaya kerana kedegilan pemimpin dan ahlinya.

Untuk itu katanya, Umno mahu dalam kawalan mereka pula selepas riwayatnya tidak mampu ditamatkan menggunakan ‘broker’ bertaraf jurucakap dan mendakwa merekalah penyatuan ummah.

“Ironinya dasar penyatuan ummah perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan. Bukan untuk menguasai supaya terus berkuasa. Bukan juga untuk kepentingan si polan dan si polan.

“Andai berjaya, jenama Umno boleh dipergunakan. Jutaan ahli Umno boleh ‘diremote’ dan dikudakan.

“Tanpa cabaran pemimpin dan ahli Umno, kedudukan dan kekuasaan mereka lebih selesa dan terjamin. Walaupun itu bermaksud kebajikan rakyat terabai, ekonomi merudum manakala demokrasi tercalar,” katanya lagi.

Berikutan itu, Ahmad Zahid berkata Umno tidak akan menyerah, pasrah dan merelakan sahaja cubaan tersebut sedangkan ia parti milik rakyat dan lebih tiga juta ahli serta jutaan penyokongnya.

“Umno juga yang memayungi kaum-kaum lain secara adil sejak merdeka. Buktinya lihatlah sekeliling,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here