Tidak patut berada di dalam milikan Raja Petra – Puad

0
2
KUALA LUMPUR 09 June 2015. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di Sidang Media menegnai isu 1MDB di Menara MARA. NSTP/Salhani Ibrahim

Nurul Huda Abhar

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membuat laporan polis terhadap penulis Raja Petra Kamarudin berkenaan satu artikel bertajuk ‘AMC In Chaos, Puad Chickens Out And Backs Down’ yang telah diterbitkan portal Malaysia Today pada Selasa lalu.

Menurutnya, tujuan laporan polis itu dibuat kerana penulis telah melemparkan kenyataan-kenyataan tidak benar terhadapnya bersandarkan kepada surat-surat peguam dan emel mahkamah yang tidak patut berada di dalam milikan Raja Petra.

“Dalam hal ini, tujuan laporan polis tersebut adalah berkenaan dengan surat daripada peguamcara saya dan peguamcara Tan Sri Muhyiddin Md Yassin serta emel daripada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah yang merupakan dokumen-dokumen yang dikongsi secara sulit dan peribadi.

“Adalah agak mustahil bagi dokumen-dokumen tersebut diperolehi oleh Raja Petra Kamarudin kerana ia tidak boleh diakses di laman awam (public domain).

“Selain itu, tindakan saman oleh Tan Sri Muhyiddin Md Yassin terhadap saya adalah suatu tindakan yang diambil secara peribadi oleh beliau dan tidak melibatkan kepentingan awam ataupun institusi kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Puad berkata, kenyataan Raja Petra yang kononnya menyatakan bahawa Mahkamah telah memerintahkan beliau untuk menurunkan hantaran tersebut atau akan dikenakan prosiding penghinaan mahkamah adalah jauh sekali dengan fakta yang sebenarnya berlaku.

Malah, katanya, apa yang sebenarnya berlaku adalah peguam beliau telah menulis kepada mahkamah untuk satu klarifikasi bagi mendapatkan kepastian berkenaan dengan kehendak perintah injunksi yang diberikan oleh mahkamah.

Ia kerana tuntutan peguam plaintif untuk beliau memadamkan hantaran tersebut tidak disebut secara jelas dalam perintah injunksi tersebut.

“Permohonan oleh peguam saya sama sekali tidak dibuat untuk melengah-lengahkan pematuhan perintah tersebut malah sejurus selepas pihak saya dimaklumkan berkenaan dengan arahan mahkamah untuk memadamkan pos tersebut, saya telah dengan serta-merta memadamkannya.

“Jadi tiada isu yang timbul bahawa saya telah menghina mahkamah atau cuba untuk melengahkan pematuhannya. Apa yang lebih penting adalah kenyataan Raja Petra Kamarudin bahawa “The court then replied in no uncertain terms that Puad must comply with the court order immediately or else face contempt of court proceedings” adalah tidak pernah berlaku.

“Malah kenyataan itu menunjukkan bahawa perintah mahkamah sewenang-wenangnya boleh diputar belitkan dan diberikan maksud-maksud yang berbeza yang tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Mohd Puad juga telah mengarahkan peguamnya memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah injunksi yang telah diperolehi terhadap beliau.

Katanya, jika permohonan tersebut dibenarkan maka pasti beliau akan menuntut ganti rugi daripada Muhyiddin. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here