Liga Super: Selangor FC selesa atasi Sri Pahang, tepati status pasukan pilihan

0
2

DUA jaringan Oliver Buff serta satu lagi menerusi penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri menghadiahkan Selangor FC tiga mata penuh setelah menewaskan Sri Pahang FC 3-1 dalam aksi pertama Liga Super malam ini.

Perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu menyaksikan skuad Gergasi Merah mendahului 1-0 pada minit-minit akhir babak pertama menerusi Buff, pemain tengah dari Switzerland.

Shahrel menambah jaringan kedua pada minit ke-55 melalui tandukan yang mengelirukan penjaga gol pelawat, Helmi Eliza hasil sepakan sudut.

Sri Pahang bagaimanapun enggan mengaku kalah apabila merapatkan jurang melalui sepakan percuma pada minit ke-70.

Selepas itu skuad Tok Gajah lebih banyak mengatur gerakan dalam usaha menyamakan kedudukan, namun Buff menamatkan sisa perjuangan Sri Pahang menerusi jaringan pada minit ke-94.

Kemenangan itu mengesahkan status Selangor FC sebagai antara pasukan yang diramal mampu menjadi pencabar Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini.

Sementara itu, Sabah FC membawa pulang satu mata dari Stadium Hang Jebat setelah mengikat Melaka United FC 1-1.

Gol Sang Badak dijaringkan oleh Hamran Peter pada minit ke-65, namun S Kumaahran menyelamatkan pasukan tuan rumah dengan gol penyamaan minit ke-63.

Di Shah Alam, jaringan David da Silva minit ke-77 dan Hakimi Abdullah minit ke-87 melengkapkan kebangkitan Terengganu FC untuk menewaskan UiTM FC 2-1.

Aksi UiTM FC melawan Terengganu FC

Dalam pertembungan dua pendatang baharu Liga Super di Pulau Pinang, pasukan tuan rumah Penang FC lega apabila meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC.

David Rowley muncul wira skuad Harimau Kumbang menerusi jaringan tunggalnya pada minit ke-29.

Esok satu lagi perlawanan bakal berlangsung menemukan Perak FC dan PJ City FC di Ipoh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here