PELAKSANAAN vaksinasi fasa pertama kepada petugas kesihatan swasta di Perak berlangsung hari ini dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Stadium Indera Mulia yang dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mula dipenuhi petugas kesihatan yang terlibat sejak jam 10.30 pagi.
“Ramai juga kalangan ‘GP’ (doktor atau pengamal perubatan am) yang hadir mendapatkan vaksin. Lindung diri, lindung semua,” katanya dalam kenyataan ringkas di laman Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 menunjukkan 9,892 pemberian dos vaksin telah diberikan di Perak sehingga Jumaat.
Media melaporkan pada 3 Mac lalu, Perak menerima sebahagian lagi bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang dihantar ke empat Pusat Simpanan Vaksin (PSV) bagi pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan juga menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama di Klinik Kesihatan Pontian, hari ini.

Ia disusuli oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang Muhammad Taqiuddin Che Man.
Pada perkembangan sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri juga menjalani suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Sadong Jaya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong memilih untuk mengambil vaksin terbabit bagi memberi keyakinan kepada rakyat.
“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak ragu atau bimbang, memandangkan kerajaan sudah memastikan vaksin ini selamat.
“Pelbagai kajian sebagaimana dilakukan negara luar sudah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan
Hari ini turut menyaksikan ADUN Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo mengambil imunisasi sama. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/01/mb-ketua-polis-yang-pertama-terima-suntikan-vaksin-di-johor/

