‘Laporan Ismail Sabri dilantik TPM spekulasi lama yang dah basi’

0
2

Aiman Hanif

LAPORAN mengenai dakwaan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri bersifat berita spekulasi yang telah basi.

Menurut sumber dalaman Umno, dakwaan yang mengatakan Ismail Sabri dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan dilantik ke jawatan itu telah lama dibangkitkan.

Katanya, isu berkenaan telah lama berlegar sebelum ini, namun sampai ke hari ini ia berlalu begitu saja.

“Itu sekadar berita spekulasi yang telah basi, untuk rekod Umno tidak pernah menerima sebarang tawaran bagi jawatan itu secara bertulis.

“Ia lebih kepada spekulasi dan jika ada, itu sudah terlambat kerana Umno telah membuat keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.

“Soal Ismail Sabri atau mana-mana pemimpin Umno akan dilantik ke jawatan berkenaan tidak berbangkit lagi,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno kepada Malaysiapost, hari ini.

Terdahulu portal berita FMT melaporkan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah mengusulkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan pilihan raya umum sekitar Ogos dan melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri, jika Umno nekad keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sumber yang rapat dengan kepimpinan tertinggi Bersatu menjangka sidang Parlimen diadakan Ogos dan “pada masa itu, akan jelas sama ada Umno bersama kita atau akan menarik sokongan terus daripada Muhyiddin.”

Bagaimanapun, menurut sumber itu, PRU-15 berkemungkinan diadakan terus tanpa sidang Parlimen, jika kemelut Bersatu dan Umno terus meruncing.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan Malaysiapost, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno tidak akan membelakangkan keputusan parti dalam apa juga situasai.

“Saya tak fikir Ismail Sabri seorang yang gilakan jawatan itu. Spekulasi itu adalah permainan media untuk menghangatkan suhu politik saja.

“Kebenarnya agak jauh sekali, spekulasi siapa saja boleh buat,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here