PM mulakan lawatan ke Arab Saudi, bincang urusan jemaah haji Malaysia

0
2

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini berangkat ke Arab Saudi bagi memulakan lawatan rasmi sulung beliau ke Asia Barat, sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, setahun lalu.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Muhyiddin dijadual mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kerajaan Arab Saudi.

“Hari ini, saya berangkat ke Mekah untuk lawatan rasmi sulung saya ke Asia Barat, bagi memenuhi jemputan Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi yang juga penjaga dua masjid suci umat Islam.

“Insya-Allah, saya akan menunaikan umrah di tanah suci Mekah dan melakukan ziarah di Madinah terlebih dahulu, sebelum memulakan program rasmi di Istana Al-Yamamah di Riyadh, pada 9 Mac ini.

“Doakan agar perjalanan saya ini dipermudahkan dan segala urusan demi kemaslahatan ummah mendapat barakah oleh Allah SWT. Amin,” katanya.

Muhyiddin menyifatkan lawatan itu amat penting kepada hubungan kedua-dua negara dan akan dapat menyelesaikan beberapa isu terutama berkaitan urusan menunaikan haji rakyat Malaysia.

“Lawatan saya ini cukup signifikan kerana antara lain akan membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan hal ehwal Islam yang mampu melonjakkan hubungan baik sedia ada ke tahap lebih tinggi.

“Sudah pasti soal kuota haji dan urusan umrah tidak ketinggalan akan dibincangkan dalam pertemuan itu kelak.

“Dari Arab Saudi, insya-Allah saya akan terus ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), untuk bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, YM Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum,” catatnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here