Komponen BN dakwa kenyataan Zahid kurang tepat

0
2

PRESIDEN MIC, Tan Sri S A Vigneswaran menolak kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Barisan Nasional merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan supaya sidang Parlimen diadakan segera.

Menurutnya, pada mesyuarat BN pada Rabu lalu bersepakat untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung sidang Parlimen.

“Saya terkejut dengan kenyataan pengerusi BN. Mesyuarat BN tidak pernah menyokong sebarang keputusan untuk merayu Seri Paduka agar menitahkan mengadakan parlimen dengan segera,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Pendedahan S A Vigneswaran tersebut turut disahkan oleh beberapa pimpinan BN yang lain termasuk Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup.

“Saya sahkan apa dikatakan oleh Viki (Vigneswaran) adalah betul,” kata Ka Siong.

“Dewan Tertinggi BN tidak setuju berhubung kenyataan media yang dikeluarkan (oleh Presiden Umno),” kata Joseph.

Semalam, kepimpinan BN merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, agar diperkenankan untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata titah berkenaan boleh dibuat Agong dengan menggunakan kuasa wewenang Duli Tuanku dibawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sidang Parlimen dapat membentangkan beberapa perkara seperti pengisytiharan darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara.

Katanya, Keberkesanan langkah-langkah membendung Covid-19, keberkesanan Belanjawan 2021, keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi serta keperluan perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam bersama pelbagai keturunan dalam negara agar kembali stabil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here