Kemelut Umno-Bersatu, PAS komited agenda penyatuan ummah

0
2

DEMI agenda penyatuan ummah, PAS tetap komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama dengan Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PAS telah mengikuti secara rapat perkembangan hubungan kerjasama parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya antara Umno dan Bersatu yang mendapat perhatian mutakhir ini.

Menurut Takiyuddin, memandangkan isu kerjasama semua parti politik Melayu amatlah penting dalam konteks masa depan politik negara, Pas telah mengambil 4 ketetapan seperti berikut:

  1. Meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama;
  2. Mempertegaskan usaha memperkasa Muafakat Nasional, sekali gus mempertahan Perikatan Nasional di semua peringkat;
  3. Menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin; dan
  4. Menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan atau sekutunya.

Justeru, Takiyuddin berkata, PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

“Pada masa yang sama PAS turut menekankan buat masa ini sewajarnya semua pihak memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 dan pemulihan semula ekonomi negara dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hubungan Umno dengan Bersatu ibarat retak menanti belah susulan satu surat rasmi telah dihantar oleh Umno kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pada 26 Mac ini.

Bagaimanapun semalam, menerusi kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, parti itu telah memutuskan untuk menyokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen dan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihanraya Umum ke-15 nanti.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, kehadiran PAS pada PAU 2020 sebagai usaha berterusan memperkukuhkan penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) sebagaimana yang disepakati sebelum ini.

“Ia demi keinginan melihat kesatuan Islam dalam negara,” katanya.-Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/04/pas-tetap-mahu-umno-dan-bersatu-duduk-semeja-idris-ahmad/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here