Kementerian Kesihatan (KKM) perlu melindungi ‘whistleblower’ (pemberi maklumat) yang mendedahkan pelanggaran etika perlaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berbanding memberi tekanan kepada mereka.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir menggesa kerajaan mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif terhadap ‘whistleblower’ serta proaktif dalam melindungi identiti mereka yang juga merupakan petugas barisan hadapan.
“Sebagai petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus lebih setahun bagi mengekang penularan wabak ini, sudah pasti mereka lebih sensitif terhadap sebarang tindakan yang bertentangan dengan nilai dan etika.
“Sehubungan itu, sebarang kenyataan yang berbaur amaran atau gertakan sebegini amat tidak membantu kepada usaha mengekang ketirisan dalam pelaksanaan program vaksinasi ini.
“Teguran petugas kesihatan melalui saluran mana sekali pun perlu diberi perhatian dan disusuli dengan siasatan yang adil, ini juga merupakan suatu penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah memberikan komitmen baik selama ini,” katanya kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kenyataan yang melarang petugas kesihatan daripada membuat penyataan awam tanpa kebenaran.
Larangan itu dibuat susulan terdapat edaran penyataan awam yang tersebar dalam media sosial mengenai pelaksanaan pemberian vaksin yang kononnya di tulis oleh petugas kesihatan KKM.
Bagaimanapun menurut Akmal, arahan itu dilihat sebagai usaha menyekat rakyat daripada mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan bercanggah terhadap seruan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dalam isu melangkau giliran menerima suntikan vaksin baru-baru ini.
“Walaupun dinyatakan bahawa arahan ini bukanlah bertujuan menyekat mana-mana pegawai untuk bersuara, namun secara tidak langsung pasti akan menimbulkan kegusaran dan memberi tekanan kepada pemberi maklumat (whistleblower) untuk mendedahkan kepincangan serta ketirisan dalam tindakan yang digerakkan kerajaan.
“Kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan biasanya telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada YB Menteri Kesihatan dilihat seperti bertentangan dengan sikap terbuka YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Penegasan YB Khairy Jamaluddin yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sewajarnya diraikan bersama dengan pendekatan susulan yang selari dengan seruan tersebut agar rakyat berasa yakin bahawa usaha vaksinasi ini dilaksanakan secara adil, telus dan penuh bertanggungjawab,” katanya.
Artikel berkaitan:

