Dadah peruntuh kesejahteraan keluarga dan negara

0
2

PERANGI dadah, kerana ia membawa kemudaratan kepada kesihatan, keharmonian keluarga dan kemakmuran negara.

Dalam khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak bertajuk “Dadah membawa Petaka kepada Ummah” menyatakan dadah menjadi punca kepada pelbagai masalah; masalah kesihatan, masalah sosial, masalah ekonomi, dan masalah keselamatan.

Negara, kerajaan, masyarakat, keluarga dan orang-orang perseorangan kini terpaksa menanggung harga yang tinggi untuk menangani masalah penagihan dadah.

Dalam tahun 2020, rekod Polis Diraja Malaysia menunjukkan seramai 66,238 orang penagih ditangkap. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan menunjukkan, sehingga tahun 2020, lebih 140 ribu orang penagih dadah telah direkodkan.

Namun dipercayai, angka sebenar penagih dadah yang berlegar di dalam negara, lebih tinggi daripada angka tangkapan dan angka yang direkodkan.

Dengan bertambahnya bilangan penagih, tenaga kerja dan beban kerja Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah, mahkamah, hospital, penjara dan pusat pemulihan turut bertambah, sekali gus meningkatkan perbelanjaan negara.

Hasil negara yang sepatutnya boleh digunakan untuk perbelanjaan membina jalan raya, sekolah, pusat kesihatan, pembiayaan pengajian dan membekalkan lebih banyak kemudahan untuk rakyat, terpaksa dikurangkan kerana sebahagiannya perlu diperuntukkan untuk menangani masalah yang dicetuskan oleh penagihan dadah.

Penagih serta anggota keluarga penagih, terpaksa menanggung beban berat sosial dan kewangan. Jenayah kecurian meningkat, dilakukan oleh para penagih yang terdesak untuk mendapatkan sumber kewangan tambahan, yang diperlukan untuk membeli dadah.

Lebih menyedihkan dan lebih menakutkan, keselamatan ahli keluarga dan masyarakat sekitar turut terancam kerana berlakunya pelbagai perbuatan tidak normal dan di luar tabii, akibat pengaruh negatif penagihan dadah.

Keruntuhan rumah tangga dan penceraian turut berlaku dalam kalangan keluarga yang salah seorangnya menjadi penagih; anak, isteri, suami serta ibu dan ayah yang tua lagi uzur, terbiar apabila seseorang ditahan sama ada sebagai pengedar atau penagih.

Penagih dadah sering kali dilihat dengan lensa mata yang negatif, dipandang sebagai penjenayah, dan seringkali dipandang rendah serta dihina; sedangkan penagih dadah sebenarnya ialah mangsa; mangsa kepada sindiket perniagaan dadah yang membina kekayaan atas titisan air mata penderitaan manusia yang dijadikan mangsa.

Dadah telah menjadi bahan urus niaga global, urus niaga yang berjalan secara haram dalam pasaran gelap; melibatkan rangkaian penanaman, pembuatan, pengedaran dan jualan. Dianggarkan urus niaga perniagaan haram ini bernilai lebih tiga ribu bilion ringgit setahun, menyamai satu peratus daripada jumlah keluaran dalam negara kasar dunia.

Data Polis Diraja Malaysia menunjukkan sepanjang tahun 2020, lebih 13 ribu kilogram dan hampir 18 ribu liter dadah telah dirampas di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di samping itu, lebih 291 ribu kilogram dan lebih 75 ribu liter ketum, serta hampir enam ratus kilogram dadah lain turut dirampas di bawah Akta Racun 1952. Keseluruhan dadah yang berjaya dirampas sepanjang tahun 2020, bernilai hampir 455 juta ringgit.

Dalam tempoh masa yang sama, 20 buah makmal memproses dadah berjaya dikesan melibatkan tangkapan 71 orang pesalah.

Dipercayai kuantiti dadah dan nilai dadah yang diedarkan lebih banyak dan lebih tinggi daripada rampasan yang berjaya dilakukan oleh pihak berkuasa.

Sepanjang tahun 2020, seramai 6,633 orang pengedar berjaya diberkas. Pengedar dadah, terutama yang mengedar secara kecil-kecilan adalah juga mangsa, menjadi alat, kepada sindiket yang menjadikan dadah sebagai bahan perniagaan untuk membina kekayaan.

Ramai pengedar yang ditangkap, dituduh dan dibicarakan dan apabila disabitkan, mengakhiri hayat mereka di tali gantung. Terdapat juga warga negara Malaysia, terlibat mengedar dadah di peringkat antarabangsa, dikenali sebagai keldai dadah, ketika ini meringkuk dalam penjara di beberapa buah negara luar.

Ahli-ahli keluarga juga yang menanggung derita – memendam hiba sepanjang hayat, sementara tauke-tauke dadah, hidup sebagai jutawan dalam lautan kemewahan.

Dadah pernah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu kepada negara. Dadah tanpa pengusaha, tanpa sindiket perniagaan dan tanpa rangkaian sindiket pengedaran yang bersistematik, tidak mungkin dapat menjadi musuh negara.

Para peniaga dan pengusaha dadah, dan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang besar, merekalah sebenarnya petualang yang mencetuskan begitu banyak penderitaan kepada insan-insan yang tidak berdosa. Kerana sifat tamak dan haloba mereka untuk membina kekayaan, mereka terus berusaha mahu meningkatkan jualan dadah, dan pada setiap detik, mereka mencari penagih baharu untuk dijadikan mangsa.

Lebih malang kepada negara dan teramat malang kepada warga, apabila ada orang-orang perseorangan dalam badan-badan penguat kuasa, badan-badan perundangan dan badanbadan yang diamanahkan untuk melindungi warga, menjadi kelabu pandangan kerana sogokan wang, mengamalkan sifat gunting dalam lipatan, bersedia bersekongkol dan bekerjasama, bersubahat membantu memudahkan kerja-kerja memproses, menyeludup dan mengedar dadah. Petualang-petualang inilah yang wajib diperangi dan diisytiharkan jihad untuk kita sama-sama menghapuskan mereka.

Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya, Tidak (sempurna) iman seorang yang tidak amanah, dan tidak (sempurna) agama seseorang yang tidak berpegang pada janjinya. (Hadith riwayat Imam Ahmad – 12567)

Mimbar menyeru para jemaah untuk sama-sama menggerakkan beberapa langkah berikut, bagi mencegah masalah penyalahgunaan dadah:

Pertama: Membantu mengenal pasti mangsa dadah pada peringkat awal, dibantu segera untuk dapat dirawat sebelum terlanjur jauh.

Kedua: Membantu penagih yang telah berjaya dipulihkan, agar dapat kembali hidup normal dan diterima secara positif dan diberikan sokongan oleh masyarakat dan rakan sekerja.

Ketiga: Melaporkan kepada pihak berkuasa jika didampingi oleh mana-mana pihak untuk mengambil dadah atau ditawarkan menjadi pengedar.

Keempat: Ingatlah kepada ALLAH, kalangan yang telah diberikan amanah dengan tanggungjawab, tidak hilang pedoman kerana sogokan kewangan lalu bersifat pegar memakan padi, bersubahat dan bersekongkol dengan penjenayah peniagaan dadah.

Kelima: Sama membantu usaha pihak berkuasa untuk meminimumkan kadar penagih dadah dalam usaha untuk mencapai matlamat sifar dadah. Hayatilah firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d ayat 11:

Maksudnya: Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain Nya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here