GARIS panduan dan hukum pengambilan suntikan vaksin Covid-19 ketika Ramadan dijangka dikeluarkan hujung bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata panduan itu bagi memberi pemahaman kepada umat Islam mengenai hukum pengambilan vaksin ketika sedang berpuasa susulan orang awam dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 pada April ini, iaitu ketika permulaan Ramadan.
“Panduan vaksin ketika Ramadan, kita sudah melihat fatwa-fatwa, ia tidak menjadi kesalahan dari segi suntikan tersebut, bagaimanapun, secara rasminya garis panduan kita akan keluarkan sebelum Ramadan,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Yadim Peduli: Musaadah dan Sanitasi Masjid.
Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan membabitkan kumpulan warga emas berusia 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) membabitkan 9.4 juta orang dijangka bermula April hingga Ogos.
Pada masa ini, fasa pertama pemberian vaksin sedang berlangsung di seluruh negara membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan, dengan dimulakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin sebagai penerima pertama di Malaysia pada 24 Februari lalu. – Malaysiapost

