Ajaran meragukan, JAIS tahan empat individu

0
2

EMPAT individu membabitkan dua lelaki dan dua wanita ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Hulu Langat semalam selepas dipercayai terbabit dengan ajaran yang meragukan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata, pihaknya melaksanakan tiga waran tangkap terhadap tiga orang yang disyaki serta satu waran geledah premis pada 11.20 malam tadi.

“Berikutan itu, JAIS menahan empat individu iaitu dua lelaki dan dua wanita serta menyita beberapa bahan bukti dari premis dan individu terbabit.

“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat JAIS untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7, 9 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan kemudian disebut di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.

“Mahkamah menetapkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan awam Gred 41 bagi seorang tertuduh lelaki dengan syarat tambahan iaitu passport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak dua minggu sekali. 

“Bagi dua tertuduh wanita pula mahkamah menetapkan masing-masing jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 48; passport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di PAID Gombak dua minggu sekali,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi lelaki dilepaskan dengan Bon Jaminan Penguatkuasaan. 

Beliau berkata, sebutan semula kes ditetapkan 28 Julai depan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

“Dengan tertangkapnya empat orang suspek ini, JAIS dijangka dapat menyelesaikan kes membabitkan perbuatan beberapa individu di dalam negeri Selangor yang disyaki bercanggah dengan ketetapan hukum syarak atau fatwa, penghinaan kepada al-Quran dan al-Hadith, serta mempersenda, menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina,” katanya. 

Terdahulu media melaporkan, seorang bekas wartawan yang juga pemenang anugerah Kajai, Wan Noor Hayati Wan Alias, 40, atau dikenali sebagai Ibu Yati dikatakan ditahan JAIS malam tadi. 

Beliau sebelum ini tular apabila didakwa terbabit dengan penyebaran ajaran baharu ‘Agama Melayu’ yang dikatakan sebagai sesat. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here