Pembangkang gasak speaker kerana Facebook Najib

0
3

Aiman Hanif

[Parlimen] Pembangkang hari ini mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun memperbetulkan hantaran Facebook bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan pembangkang menolak undang-undang (RUU) menyusun semula Belanjawan 2020.

RUU itu bagi memudahkan pembentukan kementerian baru yang ditubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Najib semalam mendakwa pembangkang telah berusaha menggagalkan “belanjawan Prihatin” kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi dari krisis Covid-19.

Isu itu dibangkitkan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkata hal ini menunjukkan bekas Perdana Menteri tidak tahu RUU apa yang beliau undi semalam selain mengelirukan orang ramai.

Hannnah Yeoh (PH-Segambut) juga bangkit dan menuntut speaker supaya meminta Najib supaya memperbetulkan tuduhannya itu.

Azhar bagaimanapun berkata beliau tidak tahu tentang perkara itu dan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Saya tidak tahu mengenai perkara ini, saya tidak melihatnya (Facebook Najib), saya tidak ada kuasa (untuk meminta Najib memperbetulkan).

Bagaimanapun Hanipa Maidin (PH-Sepang) membantah kenyataan Speaker dan mendakwa Azhar boleh berbuat demikian.

Azhar menegaskan yang beliau tidak boleh berbuat demikian dan ketegangan tercetus apabila Hanipa terus mengasak Speaker.

“Apa kuasa saya untuk perbetulkan,” soal Azhar lagi.

Bagaimanapun Azhar berjaya meredakan ketegangan dan meminta Ahli Parlimen Amanah itu menulis surat kepadanya untuk membuktikan bahawa beliau salah.

Untuk rekod, rang undang-undang mengenai bantuan kerajaan Covid-19 hanya dibahaskan pada hari ini di Parlimen.