‘Umno jangan lupa siapa 16 mereka ini’ – Zahid Hamidi

0
3

Nurul Huda Abhar

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu seluruh jentera parti tidak melupakan 16 bekas ahli yang mahu membubarkan parti keramat tersebut.

Beliau berkata, jangan ada lagi seperti mereka yang mahu perisytiharan Umno sebagai parti tidak sah.

“Kita mesti peka juga siapa di belakang mereka. Supaya kita tahu yang mana intan yang mana kaca.

“Kepada seluruh ahli Umno. Bersatulah kita, jangan jadi si kitol seperti dalam sejarah lampau,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan Umno merupakan sebuah parti sah dan mengikut perlembagaan.

Keputusan itu dibuat selepas panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed menolak permohonan 16 bekas ahli parti itu yang mahu perisytiharan Umno sebagai parti tidak sah kerana melanggar perlembagaannya.

16 bekas ahli tersebut ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Ketika membaca penghakimannya, Azhar berkata, rayuan itu sudah menjadi akademik kerana ia difailkan oleh pemohon yang bukan lagi ahli parti tersebut.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, perkara tersebut perlu dijadikan satu suntikan semangat baharu kepada seluruh jentera, ahli dan penyokong Umno.

“Parti keramat terus bertahan dan InsyaAllah akan kembali mengasak dengan lebih hebat. Bersama Barisan Nasional bangkit Pilihan Raya Umum ke-15 demi nasib rakyat dan negara bangsa,” ujarnya.

Pada 20 April 2017, 16 bekas ahli Umno tersebut memfailkan permohonan kebenaran, antaranya bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Umno tidak sah kerana melanggar perlembagaannya setelah gagal mengadakan pemilihan di peringkat Cawangan, Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi selama hampir lima tahun.

Dalam permohonan itu, mereka menamakan ROS dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh (dalam kapasiti selaku pegawai awam dalam parti), sebagai responden pertama dan kedua.

Semua 16 bekas ahli itu turut memohon beberapa perintah mahkamah dan pengisytiharan berhubung kedudukan dan status Umno yang didakwa melanggar perlembagaan parti.

Menurut mereka, Umno menunda pemilihan bagi semua peringkat dua kali, melebihi tempoh maksimum 18 bulan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti. -Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/25/mahkamah-tangguh-pendengaran-rayuan-16-bekas-ahli-umno/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here