Kes saman Muhyiddin: Puad akur perintah injuksi mahkamah

0
2
puad zarkashi

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi akur perintah injuksi ex-parte yang dikeluarkan mahkamah membabitkan kes saman difailkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya.

Mohd Puad berkata, beliau akan mendapatkan nasihat daripada peguamnya berhubung perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya.

“Semalam saya telah mengambil maklum bahawa saya telah disaman oleh Perdana Menteri.

“Selain itu, terdapat satu perintah injuksi ex parti terhadap saya yang telah diberikan oleh Mahkamah. Saya akur akan perintah tersebut dan saya sedang dalam proses mendapatkan nasihat peguam saya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Puad berkata, beliau percaya kepada sistem kehakiman negara dan akan membela diri di mahkamah.

“Sebagai penghormatan kepada mahkamah, saya tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan lanjut berkenaan dengan saman untuk diadili oleh mahkamah,” katanya lagi.

Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan injunksi sementara oleh Perdana Menteri yang menghalang Mohd Puad daripada meneruskan catatannya di Facebook.

Sebelum ini, Mohd Puad menerima surat tuntutan daripada peguam Muhyiddin supaya dia memohon maaf dan memadam hantaran di media sosial yang mendakwa layanan berbeza kepada rakyat berhubung prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani penularan Covid-19.

Catatan di Facebook itu dimuat naik pada 9 Februari lalu.

Perintah injunksi terhadap Mohd Puad berkuatkuasa 1 Mac sehingga 12 Mac ini, apabila mahkamah akan membicarakan permohonan injunksi Muhyiddin. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here