Runtuhan perancah Lebuhraya SUKE, 2 maut 3 selamat

0
2

DUA maut, manakala tiga lagi terselamat dalam tragedi van kilang dihempap runtuhan perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Klang berhampiran Bandar Tasik Selatan lewat petang tadi.

Mangsa yang maut membabitkan dua wanita, manakala dua wanita lagi serta seorang lelaki yang juga pemandu van kilang terselamat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, semua lima mangsa yang terperangkap dalam van berkenaan sudah dikeluarkan malam ini.

“Dua wanita maut, dua lagi wanita terselamat dan seorang pemandu van iaitu lelaki turut terselamat,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lokasi kejadian pada malam ini.

Terdahulu, lima individu dilaporkan terperangkap dalam sebuah van kilang yang dihempap runtuhan perancah besi pembinaan Lebuhraya SUKE.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) melaporkan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.58 petang.

Menurut Komander Operasi, setibanya pasukan bomba ditempat kejadian mendapati runtuhan berkenaan menghempap sebuah van kilang dan makluman awal yang diterima terdapat lima mangsa terperangkap.

Sementara itu, pemaju pembinaan Lebuhraya SUKE, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd, dalam satu kenyataan mengesahkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah treler yang membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan Lebuhraya SUKE lewat petang tadi.

Bagaimanapun, treler berkenaan tidak terbabit dalam pembinaan lebuh raya itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan kemalangan yang berlaku di Lebuhraya MRR2 berhampiran Bandar Tasik Selatan berkenaan telah menyebabkan kesesakan trafik yang teruk. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here