Sabah benar rentas daerah ikut zon

0
1

AKTIVITI merentas daerah di Sabah dibenarkan bermula Jumaat ini, namun perlu mengikut enam zon yang ditetapkan.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permintaan daripada banyak pihak terutama sektor pelancongan yang kini dibenarkan beroperasi.

Semalam, kerajaan mengumumkan larangan pergerakan rentas daerah berikutan risiko penularan wabak, meskipun Sabah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa Jumaat ini.

“Selepas mempertimbangkan banyak perkara termasuk, ada juga penduduk yang bekerja di daerah lain dari tempat mereka, maka pengelasan zon ini akan membolehkan penduduk merentas daerah tanpa perlu melalui sekatan jalan raya.

“Bagaimanapun, Daerah Nabawan tidak tersenarai dalam mana-mana zon kerana masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurutnya, rakyat Sabah kini boleh melakukan pergerakan dalam zon ditetapkan.

“Zon 1 membabitkan Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar, manakala Zon 2 iaitu Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.

“Zon 3 melibatkan kawasan Kudat, Kota Marudu dan Pitas; Zon 4 – Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod; Zon 5 – Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan; sementara Zon 6 adalah Keningau, Tambunan dan Tenom,” katanya.

Beliau berkata, bagi syarikat pelancongan yang berkehendakkan aktiviti gelembung perjalanan, pertimbangan akan dibuat mengikut kes yang mana mereka perlu mengemukakan permohonan dan justifikasi prosedur operasi standard (SOP) kepada kerajaan negeri.

Katanya, ketika ini hanya Sutera Harbour Resorts yang sudah memohon dan dibenarkan untuk menawarkan aktiviti bagi gelembung perjalanan antara Kota Kinabalu dan Kota Belud mulai Jumaat ini.

Kerajaan negeri juga membenarkan majlis rasmi dan tidak rasmi dengan kehadiran 50 peratus daripada kapasiti fasiliti diadakan, namun tertakluk SOP mencegah Covid-19. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/02/rentas-daerah-dibenarkan-di-seluruh-negeri-kecuali-sabah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here