KETIADAAN persidangan Parlimen susulan pengisytiharan darurat dilihat hanya mencerminkan kebimbangan kerajaan berkenaan kelangsungan kuasa politik.
Ketua Peguam Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk tidak mengadakan sidang Parlimen hanyalah alasan semata-mata.
“Kami melihat kenyataannya yang menyamakan pengisytiharan darurat pada 1969 dengan pengisytiharan darurat 2021 adalah kurang tepat.
“Proklamasi darurat pada 1969 dibuat atas nasihat Perdana Menteri yang memiliki kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada ketika itu.
“Ia adalah lanjutan daripada rusuhan kaum dan bertujuan menyelamatkan negara, bukan jawatan seorang Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Takiyuddin memaklumkan Jemaah Menteri membuat keputusan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada persidangan Parlimen sehingga darurat tamat pada 1 Ogos ini.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.
Kata Mior Nor Haidir, ketika itu tiada sebarang isu keabsahan kedudukan Perdana Menteri dan darurat kali ini pula dilakukan atas nasihat Perdana Menteri yang telah hilang kepercayaan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Beliau berkata, alasan ketiadaan persidangan Parlimen yang kononnya disebabkan oleh wabak Covid-19 juga adalah remeh, memandangkan sekolah dan permis perniagaan yang membabitkan jutaan orang telah dibuka, manakala Dewan Rakyat hanya 220 orang sahaja.
“Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengutus surat kepada Peguam Negara kerana merasakan cabang legislatif telah lumpuh akibat penggantungan Parlimen.
“Kami melihat ketiadaan persidangan Parlimen sehingga ke hari ini adalah dengan jelas mencerminkan kebimbangan kerajaan berkenaan kelangsungan kuasa politiknya,” katanya.- Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/25/kerajaan-pn-perlu-segerakan-tarikh-sidang-parlimen/

