POLIS menahan seramai 305 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 296 dikompaun, manakala lapan lagi direman dan seorang dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (100), tidak memakai pelitup muka (80) dan rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (48).
“Kesalahan lain adalah tiada penjarakan fizikal (40), aktiviti pusat hiburan (17), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (5), keluar rumah tanpa alasan munasabah (3) dan lain-lain kesalahan (12),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, kawalan sempadan negara melalui Op Benteng semalam berjaya menangkap 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 129 buah bot/kapal di perairan negara melalui lima operasi penglihatan.
“Selain itu, seramai 14 orang PATI turut diusir menerusi dua operasi pengusiran,” katanya. – Malaysiapost

