Mahfuz minta menteri agama fokus isu Sajat, lupakan bab Liverpool sekejap

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri diminta memberi perhatian terhadap isu usahawan kosmetik, Nur Sajat yang mengaku dia bukan lagi beragama Islam.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya malam tadi.

“Mohon YB Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri untuk fokus isu “Sajat” sat (sekejap), koi (semakin) teruk dah tu gayanya, bab Liverpool sambil-sambil pun takpa.

“Apa-apa pun #YNWA (You’ll Never Walk Alone – slogan Liverpool) YB Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri,” katanya.

Untuk rekod, Zulkifli adalah peminat tegar Liverpool dan sesekali memuat naik hantaran di Facebook mengenai kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.

Sementara itu, Mahfuz turut bertanya mengapa pemimpin PAS langsung tidak bersuara berhubung isu berkenaan.

“Menteri PAS pun tak bunyi langsung ni… ka duk tunggu di Padang Merbok dah?,” sindir Mahfuz.

Semalam, satu video berdurasi seminit 48 saat yang tular di media sosial, memaparkan reaksi Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, yang memaklumkan keputusannya yang mahu keluar dari agama Islam.

“Saya baca, tak salah kita buat research (kajian) agama lain kan? Sebab kita tak ada buat apa-apa, lepas itu orang nak salahkan kita teruk. Lepas JAIS keluarkan statement (kenyataan) itu, saya dah malas nak fikir.

“Saya cakap ini bukan saya nak mengugut ke tak. Secara sumpah demi nama saya, nama ayah saya, nama mak ayah saya, saya dah tak nak menjadi orang Islam.

“Saya keluar daripada agama Islam. Itu lebih afdal. Saya tak main-main, saya cakap betul, mereka yang buat jadi saya nak keluar daripada Islam. Saya tak main-main, saya cakap betul,” luah Sajat dalam video tersebut.

Kelmarin, media melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meminta bantuan polis untuk menjejaki dan menangkap Sajat selepas menghilangkan diri.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata pihaknya sedia membantu JAIS mengesan Sajat yang menghilangkan diri, baru-baru ini.

Pada 23 Februari lalu, usahawan kosmetik itu dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung menghina Islam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here