KERAJAAN Perikatan Nasional perlu menjelaskan bila parlimen boleh kembali bersidang, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ini kerana katanya, mulai Jumaat ini tiada lagi negeri berada di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Memandangkan tiada lagi negeri dikenakan PKP, agak-agaknya bila pula Parlimen boleh kembali bersidang?
“Yang di-Pertuan Agong telah bertitah. Tanggapan Proklamasi Darurat menghalang Parlimen bersidang tidak tepat.
“Pak Menteri sila ‘move on’. Jom kita bersidang demi kepentingan rakyat dan negara. Inikan negara demokrasi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Petang tadi, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti rentas daerah di seluruh negara dibenarkan kecuali Sabah.
Beliau juga mengumumkan PKP di Selangor, Johor, Kuala Lumpur serta Pulau Pinang digantikan dengan PKP Bersyarat (PKPB) manakala Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal PKPB.
Enam lagi negeri sebelum ini dilaksanakan PKPB iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar kepada PKP Pemulihan PKPP.
Sementara itu, Ahmad Zahid melahirkan rasa syukur apabila rentas daerah kembali dibenarkan bermula 5 Mac dan berharap ia sedikit sebanyak membantu mana-mana sektor yang terjejas disebabkan sekatan itu.
“Industri pelancongan misalnya. Namun saya mohon semua jangan terlalu ghairah dan alpa dengan kepentingan menjaga prosedur operasi standard (SOP).
“Program vaksin mengambil masa sebelum mencapai imuniti kelompok. Risiko masih tinggi untuk dijangkiti.
“Saya harap kebenaran pergerakan ini membantu urusan seharian terutama memacu semula ekonomi rakyat,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

