UMNO masih relevan sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Bendahari Umno itu berkata, parti itu berdepan pelbagai cabaran selepas 9 Mei 2018 namun apa yang membanggakan ahli Umno akar umbi masih terus setia.
Bagaimanapun, katanya, ada juga segelintir pihak yang bertindak ‘melompat’ parti selepas menyedari Umno sudah hilang kuasa terutama mereka yang tidak sanggup menerima tekanan.
“Perjuangan Umno tertulis dalam Buku Perlembagaan parti demi mengekalkan maruah Melayu dan martabat agama, bangsa dan negara.
“Sehingga ke hari ini, masih ada cakap-cakap yang mendakwa bahawa Umno ditolak akar umbinya. Sedangkan akar umbi Umno tetap bertunjang sebaliknya, anggota parti yang gagal bersetia menjadi seperti daun gugur yang tak beri kesan pada akarnya,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, Umno menjadi kerajaan bersama Barisan Nasional (BN), bergelar pembangkang dan hari ini menjadi sebahagian dari kerajaan, nama parti itu kekal disebut-sebut, termasuklah dari mulut mereka yang telah melompat dan meninggalkan parti.
“Lebih teruk lagi apabila pihak yang nak ‘membunuh’ Umno, menyebut Umno sudah mati, Umno tidak relevan dan macam-macam lagi masih juga beratib hal-hal yang sama dalam pentas politik mereka.
“Masih juga nama Umno dijaja nak menghidupkan retorik dalam penceritaan mereka. Mungkin Umno sudah berakar dalam hati mereka?
“Perkembangan dalam politik tanah air sejak Umno tidak menjadi kerajaan sebenarnya menyingkap siapakah yang benar-benar ikhlas melaksakan perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, bukan hanya lihat pada Umno tetapi juga individu, tokoh, negarawan atau sesiapa sahaja berdasarkan kepada tingkah dan laku mereka.
Katanya, memang nama Umno dicanang korup dan rasuah, dituduh bermasalah, difitnah dengan pelbagai kata-kata jelek yang antaranya menjadi penyebab kepada gagalnya BN mendapat majoriti dalam pilihan raya yang lalu.
“Umno berdepan dengan segala macam realiti biarpun selalunya setiap kebaikan akan dimanipulasi oleh lawan.
“Jadi pembangkang pun Umno tetap dedikasi, kembali berkongsi kerajaan Umno masih juga laksanakan khidmat bakti, sebaliknya pihak lawan pula yang goyah,” ujarnya.
Beliau berkata, biar Umno sendiri yang menentukan hala tuju parti tanpa campur tangan pihak luar yang kurang senang melihat Umno masih kekal relevan.
“Umno tetap Umno. Biarlah ahli dan pemimpinnya yang tentukan hala tuju tanpa ada orang bukan dalam parti yang panas punggung.
“Mahu lihat relevan atau tidak perjuangan Umno, lihatlah saja anggota akar umbinya kerana Umno didukung oleh ahli-ahlinya yang tetap kekal ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. InsyaAllah kita teruskan,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/01/tun-faisal-mengadap-lembaga-disiplin-umno/

