SEORANG pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan menipu seorang peguam berhubung pelaburan antaranya berkaitan pembangunan hartanah di Johor membabitkan kerugian RM9 juta, pada 2014.
Tertuduh, Sarwan Singh Kundan Singh, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun, lapor Bernama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang kini diisytiharkan muflis didakwa menipu Aminah Faudzar, 56, dengan memperdayakannya bahawa wang RM9 juta diserahkannya akan digunakan untuk tujuan perlombongan, perniagaan restoran dan projek pembangunan Medini Square di Johor Bahru.
Sarwan Singh didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di pejabat Kadir, Khoo dan Aminah, Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman, antara 31 Mac hingga 2 Jun 2014, dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Shamsudin menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin selepas mengambil kira jumlah kerugian RM9 juta, namun peguam Datuk V Manokaran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya muflis dan tidak mampu membayar jaminan tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM75,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai. Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 4 Mei ini. -Malaysiapost

