Mahu guna undang-undang, kita cari kebenaran melaluinya – Asyraf Wajdi

0
2

PEMUDA Umno tetap menolak buku teks Sejarah Tingkatan 4 Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) segera menarik semula serta meminda buku itu. 

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Pemuda Umno tetap mempertahan perjuangan yang dimulakan oleh 73 badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah PEMBELA dan Sekretariat Gabungan NGO Menolak Buku Teks Sejarah Tingkatan 4. 

Beliau menegaskan demikian di sebalik kenyataan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memaklumkan peguamnya telah mengutus Surat Tuntutan (LOD) kepada Asyraf Wajdi. 

Ia susulan kenyataan Asyraf Wajdi berkaitan buku teks Sejarah Tingkatan Empat didakwa mengagungkan komunis yang dikeluarkan beliau di Facebooknya pada 24 Februari lalu. 

Mengulas mengenai LOD tersebur, Asyraf Wajdi berkata setakat tengah hari tadi beliau 

masih belum menerimanya dari peguam Maszlee. 

Bagaimanapun katanya, pasukan peguamnya akan meneliti kandungan LOD dan mengesyorkan tindakan susulan berdasarkan undang-undang. 

“Mahu guna undang-undang, kita cari kebenaran melaluinya. Hal-hal lain sudah tidak relevan,” ciapnya menerusi Twitter. 

Terdahulu Maszlee berkata surat tuntutan itu antara lain menuntut Asyraf Wajdi agar memadam hantaran tersebut serta-merta dan memastikan mana-mana profil atau halaman Facebook juga media sosial lain yang menyiarkan hantaran tersebut menarik semula dan memadamnya serta-merta. 

Selain itu, ia meminta Asyraf Wajdi menerbitkan suatu kenyataan maaf bertulis yang dipersetujui bersama di dalam Facebook beliau dan akhbar tempatan. 

Ketua Pemuda Umno itu juga perlu membayar sejumlah wang, yang terlebih dahulu dipersetujui sebagai pampasan kerana hantaran tersebut jelas menfitnah. 

Baru-baru ini, Asyraf Wajdi menerusi kenyataan berkata Pemuda Umno memandang serius fakta yang dimanipulasi dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 KSSM. 

Beliau mendakwa perkara itu semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah. 

Malah katanya, ia bertujuan menanam benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk, malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here