BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memaklumkan peguamnya telah mengutus Surat Tuntutan (LOD) kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ia susulan kenyataan Asyraf Wajdi berkaitan buku teks Sejarah Tingkatan Empat didakwa mengagungkan komunis yang dikeluarkan beliau di Facebooknya pada 24 Februari lalu.
Menurut Maszlee, surat tuntutan itu menuntut Asyraf Wajdi agar memadam hantaran tersebut serta-merta dan memastikan mana-mana profil atau halaman Facebook juga media sosial lain yang menyiarkan hantaran tersebut menarik semula dan memadamnya serta-merta.
Selain itu, ia meminta Asyraf Wajdi Menerbitkan suatu kenyataan maaf bertulis yang dipersetujui bersama di dalam Facebook beliau dan akhbar tempatan.
Ketua Pemuda Umno itu juga perlu membayar sejumlah wang, yang terlebih dahulu dipersetujui sebagai pampasan kerana hantaran tersebut jelas menfitnah.
“Sekiranya tuntutan-tuntutan ini tidak dilayan dalam tempoh ditetapkan, tindakan undang-undang selanjutkan akan terus diambil oleh peguam saya.
“Ini semua ialah proses tindakan undang-undang yang telah saya mulakan untuk memastikan budaya fitnah jahat berbaur perkauman begini tidak berulang lagi.
“Sebagai pengajaran bersama, saya percaya rakyat Malaysia amat muak dan benci dengan budaya fitnah jahat berbaur perkauman yang sengaja ditimbulkan dan boleh menggugat hubungan sesama kaum,” katanya hari ini.
Maszlee seterusnya berkata hanya pengecut sahaja yang sering menggunakan senjata fitnah dan propaganda murahan untuk meraih sokongan politik.
“Sudah sampai masanya kita berpolitik secara matang dan berasaskan fakta, juga keberanian untuk tampil bersemuka dan berbincang agar rakyat di bawah boleh menilai dengan saksama.
“Bak kata pepatah, usahlah baling batu sembunyi tangan, beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh,” katanya.
Baru-baru ini, Asyraf Wajdi menerusi kenyataan berkata Pemuda Umno memandang serius fakta yang dimanipulasi dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 KSSM.
Beliau mendakwa perkara itu semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan PH memerintah.
Malah katanya, ia bertujuan menanam benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk, malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan. – Malaysiapost

