Darurat: Beri ruang kerajaan PN tumpu kawal penularan Covid-19

0
1

BERI ruang kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak Covid-19, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini kerana, Ahli Parlimen Marang itu berkata Proklamasi Darurat Kesihatan yang dilaksanakan ketika ini adalah selaras prinsip demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Malah beliau menegaskan kerajaan PN tidak menyalahgunakan darurat tersebut untuk mengekalkan jawatan Perdana Menteri.

“Proklamasi Darurat Kesihatan yang dijalankan telah menampakkan hasil dengan Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurkan tiga ordinan yang memberikan impak dan membolehkan kerajaan menangani wabak Covid-19 dengan lebih berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Abdul Hadi turut menyambut baik amanat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disampaikan semalam menerusi Amanat Perdana Menteri Setahun Malaysia Prihatin.

“Saya menyokong hasrat Perdana Menteri dalam usaha untuk memastikan ekonomi semasa negara bertambah maju dan berdaya saing serta usaha membendung wabak Covid-19 dengan Pelan Imunisasi yang telah dirancang.

“Usaha kerajaan dalam membantu kumpulan rentan yang kehilangan pendapatan, sokongan kepada perniagaan terutama yang tidak dapat beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amatlah dihargai,” katanya.

Semalam Muhyiddin menegaskan kesemua ordinan yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, tidak ada satu pun yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata beliau sedar dan faham maksud demokrasi, malah darurat yang sedang dilaksanakan tamat pada 1 Ogos 2021, iaitu kali pertama dalam sejarah negara, darurat mempunyai tempoh tamat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here