PKP di daerah Nabawan, Sabah mulai 3 Mac

0
2

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Nabawan, Sabah bermula 3 Mac sehingga 16 Mac 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 28 Februari, secara kumulatif sebanyak 177 kes positif telah dilaporkan yang melibatkan 15 kampung di daerah berkenaan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak yang melibatkan kluster di daerah itu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Nabawan, Sabah bermula 3 Mac sehingga 16 Mac 2021. 

“Pelaksanaan PKP ini untuk mengawal pergerakan penduduk di daerah ini dan seterusnya untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKP Diperketatkan (PKPD) bermula 2 Mac sehingga 15 Mac 2021 akan dilaksanakan di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol di daerah Maran, Pahang. 

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 46 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan kluster tersebut. 

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes-kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan memastikan warga Felda Jengka 1, 2, 7 dan Felda Ulu Jempol yang berisiko dijangkiti kekal berada di dalam kawasan PKPD,” ujarnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here