Afandi sah rebut jawatan Naib Presiden FAM

0
3

IBARAT sirih pulang ke gagang, bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah bakal kembali berkhidmat dalam arena bolasepak negara dengan mengesahkan untuk bertanding merebut jawatan Naib Presiden FAM bulan depan.

Menurut Afandi, rasa cinta yang amat mendalam terhadap bolasepak menyebabkan beliau menyatakan kesediaan untuk kembali bertanding jawatan tersebut sempena pemilihan Jawatankuasa Eksekutif pada Kongres FAM kali ke-57, 13 Mac ini.

“Saya mendapat makluman mengenai pencalonan saya sebagai naib presiden dan saya nyatakan kesediaan saya untuk bertanding kali ini.

“Secara keseluruhannya, bola sepak ini adalah minat saya, jadi saya membuat keputusan untuk bersetuju bertanding pada kongres FAM kali ini.

“Terima kasih kepada ahli-ahli gabungan yang telah mencalonkan saya dan bagi saya, pemilihan ini adalah proses demokrasi yang diadakan setiap kali FAM mahu mengadakan pemilihan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Pencalonan Afandi turut menyaksikan bekas Timbalan Presiden FAM itu berpeluang untuk kembali berkhidmat di badan induk bola sepak negara setelah gagal mempertahankan jawatannya pada Kongres FAM kali ke-53, 2017 lalu.

Dalam pada itu, Datuk Hamidin Mohd Amin dijangka mengekalkan jawatannya selaku Presiden FAM selain diramalkan menang tanpa bertanding apabila muncul selaku calon tunggal bagi jawatan presiden setakat ini.

Perkara sama juga dilihat berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden FAM, apabila hanya Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan pengurus skuad bawah 16 tahun (B-16) kebangsaan, Datuk S Sivasundram yang bertanding bagi merebut dua kerusi yang ditawarkan setelah Datuk Seri Subahan Kamal sah tidak mempertahankan jawatannya kali ini. -Malaysiapost

Foto Kredit: Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here