Kes Zeti: Puad persoal Mahkamah tak maklumkan kepada Najib

0
3
KUALA LUMPUR 09 June 2015. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di Sidang Media menegnai isu 1MDB di Menara MARA. NSTP/Salhani Ibrahim

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Mahkamah kerana tidak pernah memasukkan maklumat berkaitan saksi utama, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam perbicaraan kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Mohd Puad, berdasarkan laporan The Edge, Zeti pernah dihubungi polis Singapura berhubung transaksi mencurigakan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, kepada syarikat milik suami dan anak lelakinya, ketika beliau masih menjadi Gabenor Bank Negara (BNM).

“Dan kenapa pihak Pendakwa dalam kes bicara Datuk Seri Najib tidak maklumkan maklumat penting ini kepada pihak peguambela Datuk Seri Najib? Zeti adalah saksi penting.

“Berdasarkan artikel itu, Polis Singapura telah maklumkan kepada Bank Negara berlakunya transaksi mencurigakan yang melibatkan akaun milik keluarga Zeti di Singapura.

“Ketika itu Zeti masih lagi Gabenor BNM. Mestilah Zeti tahu mengenai skandal tersebut. Dana mencurigakan itu masuk ke akaun Iron Rhapsody Ltd milik suami dan anak Zeti,” katanya di Facebook, hari ini.

Mohd Puad juga menyelar tindakan Zeti yang masih berdolak dalik susulan beberapa dakwaan melibatkan keluarganya terlibat dengan Jho Low dan skandal 1MDB.

“Nak tanya Zeti bekas Gabenor Bank Negara. Betulkah apa yang didedahkan dalam akhbar The Edge semalam? Jangan berdolak dalik.

“The Edge dedahkan, keluarga Zeti menerima US16.22 Juta daripada Jho Low yang menipu 1MDB. Duit itu diterima melalui akaun keluarga Zeti di Singapura.

“Suami Zeti juga adalah rakan kongsi Jho Low melalui syarikat bernama ADKMIC yang ditubuhkan pada tahun 2007. Dari 2011-2013 sejumlah US$153 Juta dipindahkan ke akaun ADKMIC di Singapura oleh Jho Low.

“Hanya pada tahun 2019 keluarga Zeti melaui SD (akuan bersumpah) mengaku wang 1MDB masuk ke akaun mereka. Masalahnya kenapa Kerajaan PN dan Kerajaan PH sembunyikan fakta ini?” catat Puad.

Pada masa sama Mohd Puad turut mempersoalkan status beberapa laporan polis yang telah dibuat terhadap Zeti.

“Apa sudah jadi dengan laporan polis terhadap Zeti yang dibuat dua bulan lepas oleh Pemuda Umno dan beberapa pihak lain?

“Apakah ada konspirasi untuk merahsiakannya. Apa muslihatnya?,” katanya.

Semalam, The Edge menyatakan dokumen dan komunikasi daripada Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura (CAD) pada 2015 dan 2016 ada mengongsikan maklumat transaksi melibatkan Iron Rhapsody Ltd dengan BNM. Zeti hanya bersara daripada BNM pada April 2016.

Menurut laporan itu, transaksi dibuat pada 2008 dan 2009 dan dimaklumkan kepada BNM pada 2015 dan 2016, apabila CAD mula menyiasat transaksi yang berkaitan 1MDB.

The Edge berkata dokumen yang dikongsikan CAD kepada pihak Malaysia menunjukkan akaun Iron Rhapsody di bank UBS Singapura menerima AS$16.22 juta daripada syarikat atau akaun yang berkaitan dengan Jho Low.

Ia termasuklah AS$7.42 juta pada 18 Jun 2008, daripada syarikat Jho Low iaitu Butamba Investments Ltd, yang terlibat dalam urus niaga tanah bernilai RM3 bilion dengan Khazanah Nasional di Johor, hanya sebulan sebelumnya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here