Polis Singapura pernah kongsi maklumat transaksi curiga Jho Low dengan syarikat suami Zeti

0
2

POLIS Singapura mendakwa pernah membuat makluman kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung transaksi mencurigakan daripada ahli perniagaan Jho Low, kepada syarikat milik suami dan anak lelaki Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ketika beliau masih menjadi gabenor bank tersebut.

Memetik laporan The Edge, mendakwa dokumen dan komunikasi daripada Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura (CAD) pada 2015 dan 2016 ada berkongsi maklumat transaksi melibatkan Iron Rhapsody Ltd dengan BNM.

Menurut laporan itu, transaksi dibuat pada 2008 dan 2009 dan dimaklumkan kepada BNM pada 2015 dan 2016, apabila CAD mula menyiasat transaksi yang berkaitan 1MDB. Zeti bersara daripada BNM pada April 2016.

The Edge melaporkan, dokumen yang dikongsikan CAD kepada Malaysia menunjukkan akaun Iron Rhapsody di bank UBS Singapura menerima AS$16.22 juta daripada syarikat atau akaun yang berkaitan dengan Jho Low.

Ia termasuklah AS$7.42 juta pada 18 Jun 2008, daripada syarikat Jho Low iaitu Butamba Investments Ltd, yang terlibat dalam urus niaga tanah bernilai RM3 bilion dengan Khazanah Nasional di Johor, hanya sebulan sebelumnya.

Jho Low dilaporkan mengaut untung RM400 juta daripada urus niaga itu setelah dia menjual kepentingannya dalam pemilikan tanah itu.

Satu lagi transaksi kepada Iron Rhapsody adalah sebanyak AS$732,000 pada 21 Mei 2009, daripada firma guaman Shearman & Sterling di Amerika Syarikat.

Firma guaman itu turut membuat pemindahan sebanyak AS$6.25 juta kepada Iron Rhapsody pada 17 Disember 2009.

Jho Low kemudiannya menggunakan Shearman & Sterling untuk mencuci dana 1MDB yang diselewengkan ketika fasa Good Star.

CAD Singapura juga memaklumkan dua lagi transaksi dari Jho Low kepada Iron Rhapsody, yang dianggarkan berjumlah AS$567,000 pada 1 Jun 2009 dan AS$1.25 juta pada 18 Disember 2009.

The Edge memetik CAD sebagai mengesahkan sumber semua dana yang dipindahkan kepada Iron Rhapsody pada 2009 adalah daripada keuntungan yang diraih Jho Low dan sekutunya daripada pengeluaran bon berjumlah RM5 bilion oleh 1MDB/Terengganu Investment Authority (TIA) pada Mei tahun yang sama.

Sementara itu, The Edge turut melaporkan yang suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman dipercayai salah seorang rakan niaga Jho Low dalam Abu Dhabi Malaysia Kuwait Investment Corporation (ADKMIC) ketika ia ditubuhkan pada 2007.

Menurut laporan, perkara itu didedahkan kepada CAD oleh seorang pegawai bank Singapura bernama Yak Yew Chee, yang kemudiannya dipenjara atas kesalahan bersubahat dengan Jho Low dalam skandal 1MDB.

Jho Low juga menggunakan ADKMIC antara 2011 dan 2013 untuk mencuci dana yang diselewengkan daripada 1MDB ketika fasa Good Star.

Dakwaan terhadap suami dan dua anak lelaki Zeti berkaitan dana 1MDB mula muncul pada Disember tahun lalu.

Antara dakwaan yang timbul adalah sebahagian dana yang diterima Iron Rhapsody kemudiannya dipindah kepada Cutting Edge Industries Ltd, yang turut memiliki akaun di Bank UBS Singapura.

Terdapat perakuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Tawfiq dan dua anak lelakinya, Abdul Aziz dan Aliff Ayman pada 2009, yang mengesahkan mereka sebagai pemilik Cutting Edge Industries.

Dalam SD tersebut, mereka memberi kebenaran kepada CAD Singapura untuk mendapat perintah bagi memindahkan dana daripada Cutting Edge Industries kepada akaun seperti yang ditentukan 1MDB.

1MDB ketika itu cuba mendapatkan semula dananya yang diseleweng.

Disember lalu, Zeti menafikan dakwaan bahawa ahli keluarganya dan beliau menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau turut menyifatkan dakwaan yang dibuat terhadap diri dan ahli keluarganya adalah palsu dan berniat jahat.

“Isu berkaitan 1MDB telah disiasat sepenuhnya oleh BNM, PDRM dan SPRM.

“Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan menyediakan maklumat terperinci berhubung siasatan berkaitan 1MDB dan bekas Perdana Menteri, kepada PDRM dan SPRM,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Zeti berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut berhubung perkara itu berikutan dirinya adalah saksi dalam kes mahkamah yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here