Tun Faisal rayu tiga permintaan diterima Lembaga Disiplin Umno

0
2

TIMBALAN Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz merayu kepada Lembaga Disiplin Umno supaya mempertimbangkan semula tiga permintaan yang dikemukakannya sebelum menghadiri tribunal tersebut.

Tun Faizal berkata, ketiga-tiga permintaannya itu sebelum ini telah ditolak oleh Pengerusi Lembaga itu, Tan Sri Zul Hasnan Rafique.

“Tiga permintaan ini saya buat selepas mendapat nasihat daripada rakan-rakan pengamal undang-undang dan veteran Umno yang menyatakan kebimbangan jika Lembaga Disiplin Umno Malaysia tidak boleh berlaku adil,” katanya menerusi Facebook.

Beliau mendakwa, pernah berlaku dalam kes yang dibawa ke Lembaga Disiplin sebelum ini melibatkan pesalah kes politik wang semasa pemilihan parti, bagi kes yang hampir sama, hukumannya berbeza mengikut individu. 

“Bagi individu biasa, mereka dikenakan hukuman gantung, tapi bagi individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kepimpinan, mereka hanya diberikan amaran.

“Begitu juga kes yang melibatkan Datuk Lokman Adam. Sampai sekarang masih ada bunyi-bunyi berkaitan ketelusan dan keadilan mengenainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau telah membuat tiga permintaan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi membolehkan dirinya membuat persiapan sebaiknya untuk membela diri. 

Katanya, apabila permintaan ini ditolak ia adalah ‘missed opportunity’ kepada Lembaga Disiplin untuk menunjukkan bahawa mereka telus, benar-benar terbuka dan benar-benar mahu mencari kebenaran. 

“Tiga permintaan ini saya buat selepas Sekretariat Lembaga Disiplin menghubungi saya dan memaklumkan bahawa mereka mahu memberi seluas-luas ruang kepada saya untuk membela diri. 

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang menjadi kebimbangan dan ketakutan  kepada pihak Lembaga Disiplin Umno apabila tidak menunaikan permintaan saya. 

“Bukankah jika ketiga-tiga permintaan ini dipenuhi, tanggapan terhadap Lembaga Disiplin Umno akan menjadi lebih positif?Tidakkah Lembaga Disiplin Umno dan Umno sendiri akan dilihat amat komited untuk berlaku adil dan bersikap telus?,” soalnya.

Tun Faisal berkata, apapun beliau telah membuat permohonan sekali lagi kepada Zul Hasnan Rafique dan menyatakan justifikasi terhadap permintaannya ini. 

Menurutnya, ketiga-tiga permintaan beliau telah ditolak walaupun ada asas terhadap permintaan ini bagi menjamin keadilan untuk dirinya.

Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, keputusan Lembaga Disiplin Umno pernah beberapa kali dipertikaikan dari aspek keadilan dan ketelusannya.

“Sebenarnya memberikan senarai nama Pengerusi dan anggota tribunal ini kepada saya adalah perkara yang sangat mudah dilakukan dan boleh memberikan imej yang baik di kalangan ahli dan orang awam terhadap Lembaga Disiplin kerana menunjukkan sikap positif untuk berlaku telus.

“Permintaan ketiga saya, sekiranya dibenarkan, juga akan memberikan imej yang baik kepada Lembaga Disiplin kerana akan memberikan gambaran bahawa Lembaga Disiplin membuka seluas-luas ruang agar pihak yang membela diri diberikan sebaik-baik peluang untuk membela diri.

“Permintaan kedua pula tidak sepatutnya ditolak kerana pihak pembela sepatutnya mengetahui lebih awal mengenai siapa pengadu dan aduannya yang sebenar kerana ketiadaan maklumat mengenainya akan mengakibatkan pembela kehilangan upaya untuk membuat persediaan,” katanya.

Jelasnya, di Mahkamah Rayuan dan mana-mana siasatan dalaman, kesemua dokumen diberikan lebih awal untuk membolehkan persediaan dibuat. 

“Jika tidak ia seolah-olah memberi ruang untuk tribunal ini digunakan untuk menyerang hendap (ambush) saya sebagai pembela. 

“Semoga Tan Sri boleh mempertimbangkan semula permintaan saya agar ahli dan rakyat merasa yakin dengan ketelusan dan keadilan Lembaga Disiplin,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Tun Faisal mengesahkan bahawa beliau diminta menghadiri Tribunal Lembaga Disiplin parti itu pada 3 Mac ini.

Bagaimanapun, untuk membantu persiapan dan memberikan keadilan kepada dirinya sebelum dipanggil menghadiri tribunal itu, beliau juga telah memohon tiga perkara daripada Lembaga Disiplin.

Dalam surat berkenaan, beliau meminta nama pengerusi dan senarai anggota tribunal itu.

Beliau mahu nama pengadu dan butiran aduan didedahkan termasuk perincian tentang dakwaan pelanggaran peraturan parti yang dilakukannya.

Tun Faisal dalam masa sama turut meminta kebenaran membawa dua orang pengamal undang-undang untuk hadir bersamanya sebagai pemerhati dan dan penasihatnya ketika tribunal berlangsung. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/25/tun-faisal-dipanggil-tribunal-lembaga-disiplin-1-mac-ini/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here