Kes Proton Waja: 2 suspek direman 4 hari

0
1

DUA lelaki  yang berjaya ditangkap polis selepas merempuh beberapa kenderaan ketika cuba melarikan diri di persimpangan lampu isyarat berhampiran Bulatan Sierramas, Sungai Buloh semalam, direman selama empat hari. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 40 tahun itu direman bermula hari ini hingga Selasa. 

“Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua mereka positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) , 427KK, 188KK, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Nik Ezanee berkata, lelaki yang memandu Proton Waja itu didapati memiliki enam rekod jenayah dan 14 rekod dadah, manakala rakannya mempunyai lapan rekod lampau kes dadah.

Terdahulu, kedua-dua suspek berjaya ditahan beberapa jam selepas insiden meninggalkan kereta yang dinaiki di tepi jalan berhampiran MRT Damansara Damai susulan kebocoran tayar akibat ditembak polis. 

Seorang suspek yang berusia 35 tahun ditahan di kawasan perumahan Desa Aman kira-kira 1 kilometer (km) dari lokasi kereta ditinggalkan, manakala seorang lagi suspek dikenali sebagai ‘Bob Mah Sing’ berusia 40 tahun ditahan di sebuah rumah di Shah Alam, kira-kira 11.45 malam tadi. 

Pemeriksaan polis turut menemui dadah jenis heroin seberat 1.7 gram yang ditinggalkan dalam kenderaan suspek. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam, dua suspek berkenaan menaiki kereta jenis Proton Waja cuba melarikan diri dengan merempuh kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran Bulatan Sierramas, hingga memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan. 

Kejadian itu dirakam pengguna jalan raya dan video berdurasi satu minit 45 saat berkenaan yang menunjukkan kereta terbabit merempuh sebuah lori dan Perodua Myvi yang berhenti ketika lampu isyarat merah turut tular di media sosial. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/26/seorang-suspek-proton-waja-sudah-ditahan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here