Keputusan Mahkamah Persekutuan cetus lebih banyak kekeliruan – Tok Mat

0
2
Datuk Seri Mohamad Hasan

PENGHAKIMAM Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang memutuskan penetapan seks luar tabii sebagai jenayah oleh badan perundangan negeri Selangor adalah tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah serta dilihat akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan. 

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata keputusan dibuat panel sembilan hakim itu juga menimbulkan reaksi yang bercampur-baur dalam kalangan masyarakat. 

Menurutnya, jika ia diteliti dengan lebih mendalam dan kritikal, adalah tidak pelik wujud kegusaran bahawa keputusan itu akan membangkitkan lebih banyak kekeliruan berhubung definisi undang-undang jenayah dan undang-undang syariah. 

“Dari segi teknikal, persoalan utama dalam kes ini adalah berkenaan dengan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat sebarang undang-undang jenayah Islam bagi perkara-perkara yang sudah disentuh atau digubal oleh Parlimen. 

“Mahkamah Persekutuan secara asasnya, memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (1995) adalah peruntukan undang-undang yang dibuat secara tidak sah oleh DUN Selangor kerana sudah diperuntukkan di peringkat persekutuan dalam seksyen 377 dan 377A Kanun Keseksaan. 

“Atas dasar itu, DUN Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubalnya, malah dalam penghakiman Hakim Besar Mahkamah Malaya, cakupan kesalahan Syariah yang berada di bawah bidang kuasa DUN tertakluk hanya kepada kesalahan yang menyentuh aspek akidah, kesucian agama dan moral,” katanya 

Beliau berkata, terdapat beberapa persoalan besar yang perlu diperhalusi kerana kesemuanya akan sangat mempengaruhi dan menentukan nasib serta kedudukan undang-undang jenayah Syariah selepas ini.

“Pertama, apakah sebenarnya konteks kesalahan jenayah syariah yang boleh digubal oleh DUN? Biar pun terdapat definisi ringkas dalam penghakiman serta di dalam Perlembagaan Persekutuan, ia masih membuka banyak ruang interpretasi yang besar dan pelbagai. Lebih penting, konteks kesalahan dan jenayah Islam tidak hanya tertakluk kepada 3 cakupan sahaja dan kebanyakannya saling berkait dan rentas kategori.

“Kedua, adakah ini bermakna kesemua peruntukan Enakmen Syariah di semua negeri akan perlu disemak untuk dipastikan bahawa kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah enakmen-enakmen tersebut adalah harmoni dan tidak berada dalam cakupan/bidang kuasa Parlimen?

“Ketiga, apakah yang akan berlaku kepada kesalahan jenayah Syariah yang berada di bawah cakupan Parlimen atau Senarai Persekutuan tetapi kita tidak mempunyai peruntukkan berkenaan dengannya di bawah undang-undang Persekutuan? Memandangkan DUN tidak boleh menggubal enakmen atau membuat peruntukan yang boleh menghukum perkara tersebut, adakah ini bermakna kesalahan jenayah Syariah tersebut boleh terus dilakukan secara bebas?” soalnya. 

Beliau berkata, keputusan mahkamah itu juga mengundang pelbagai implikasi yang melibatkan keharmonian Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil serta kedudukan Enakmen Negeri dan Perlembagaan Persekutuan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here