PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh l Sarawak yang dijadualkan tamat 1 Mac ini, dilanjutkan dua minggu lagi.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPB bagi seluruh Sarawak dilanjutkan sehingga 15 Mac susulan masih berlaku peningkatan kes Covid-19 di negeri berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan penilaian risiko dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM), masih berlaku peningkatan kes di seluruh negeri itu dengan 2,623 kes direkodkan dalam tempoh 14 hari bermula 12 Februari lalu sehingga semalam.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di seluruh Sarawak bermula 2 sehingga 15 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah serta Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu, Sarawak bermula esok hingga 12 Mac ini.
Menurutnya, KKM hari ini melaporkan situasi kes Covid-19 di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, sehingga kini secara kumulatif sebanyak 42 kes positif direkodkan yang melibatkan kedua-dua lokaliti itu.
“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah,” katanya.
Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.
Katanya, PKPD di Sentosa, Sibu, pula dilaksanakan susulan peningkatan kes di kawasan itu yang sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 59 kes telah direkodkan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,500 penduduk di kawasan terbabit serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya.
Beliau turut memaklumkan mengenai pelanjutan PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) dan Kuarters Kakitangan Batu Gajah, Kinta, Perak yang sepatutnya berakhir esok.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 761 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 433 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM mengesahkan peningkatan kes masih berlaku melibatkan tahanan di PPA ini apabila 13 kes baharu direkodkan semalam.
“Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) & Kuarters Kakitangan Batu Gajah, Kinta, bermula 28 Februari sehingga 13 Mac 2021,” katanya. – Malaysiapost

