PRU15: Bersatu lantik Ahmad Faizal runding kerusi dengan komponen PN

0
2

BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengetuai Bersatu untuk mengadakan rundingan berhubung soal pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Bersatu itu memberitahu media hari ini, perkara itu telah diputuskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Bernama melaporkan, Ahmad Faizal berkata, tiada perbincangan mengenai pengagihan kerusi antara Bersatu bersama Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat ini.

Beliau turut menyangkal dakwaan Bersatu ingin mengaut kerusi yang banyak berikutan tiada sebarang perbincangan dimulakan bersama Umno.

Sebaliknya beliau memaklumkan pihaknya sedia mengadakan perbincangan berhubung perkara tersebut.

“Saya fikir semua parti dalam kerajaan PN berhak menyatakan minat mereka untuk bertanding mana-mana kerusi dan sukacita saya memaklumkan saya diamanahkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin untuk mengetuai perbincangan kerusi dengan parti lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Ahmad Faizal mempunyai pengalaman dalam hal tersebut dan pengumuman itu merupakan satu perkembangan baik.

“Beliau akan mengetuai pasukan Bersatu dalam berunding dengan rakan-rakan PN. Pembahagian kerusi adalah perkara penting yang memerlukan ketokohan individu seperti Ahmad Faizal.

“Dengan pengumuman ini maka proses rundingan boleh bermula. Keperibadian beliau juga tepat kerana disenangi oleh semua pemimpin dalam gabungan PN,” katanya menerusi kenyataan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/26/pengerusi-ktmb-ahmad-faizal-akan-bincang-dengan-pm/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here