Anggota ATM terlibat operasi terima dulu vaksin Covid-19

0
3

Najamuddin Mohd Nor

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menyasarkan beberapa kumpulan pertama termasuk yang melibatkan anggota yang bertugas di kawasannoperasi untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata anggota ATM yang terlibat dalam operasi seperti Op PENAWAR, Op BENTENG, Misi Luar Negara di Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) serta Pasukan Pemerhati Antarabangsa di Mindanao di bawah Tentera Darat, Laut dan Udara tidak terkecuali untuk diberi keutamaan menerima suntikan vaksin ini.

“ Vaksin ini juga akan diberi kepada Kumpulan Pemerintahan Strategik dan Operasi di Markas ATM, Kementerian Pertahanan, Markas Angkatan Bersama, markas-markas formasi tentera darat, laut dan udara terutamanya bagi mereka yang bertugas di bilik operasi dan bilik komunikasi markas-markas tersebut.

“Ia juga akan melibatkan National Task Force yang bertanggungjawab mengendalikan Op BENTENG,” katanya pada sidang media selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, beberapa kumpulan sasar ATM turut akan menerima suntikan vaksin Covid-19.

“ Selain itu, pemberian vaksin fasa pertama ini akan disasarkan kepada pegawai dan anggota yang terlibat secara langsung di dalam mengoperasikan aset pertahanan strategik negara.

“Ia seperti pesawat pejuang, pesawat pengangkut, kapal selam dan kapal-kapal TLDM, juruterbang helikopter TDM, TLDM dan TUDM, anggota Pasukan Khas, anggota yang mengendalikan aset pertahanan udara dan aset-aset khusus lain yang tidak boleh dikendalikan mana-mana pegawai dan anggota lain yang tidak dilatih khas,” katanya.

Menurut Ismail, ATM telah menjadualkan pemberian vaksin bermula semalam terutama bagi petugas vaksinasi Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera.

“ Turut sama menerima suntikan vaksin tersebut adalah 14 pegawai dan anggota ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan terlibat dengan Misi Pemantau Antarabangsa Mindanao yang akan berlepas ke Mindanao selepas menerima suntikan dos kedua pada Mac hadapan.

“ Di samping itu seramai 40 orang anggota kumpulan wanita Kedua ATM bagi Misi UNIFIL akan menerima vaksin pada esok 27 Feb 2021 sebagai sebahagian dari program pelindungan kesihatan sebelum bertugas di Lubnan,” katanya.

Kata Ismail Sabri, seramai 230 anggota ATM telah divaksinasi dengan dos pertama dari vaksin jenis Cominarty keluaran Pfizer, semalam.

Setakat ini, ATM telah menerima sebanyak 10,530 dos daripada 84,240 dos vaksin untuk diberikan kepada 42,120 anggota di seluruh negara.

Vaksin tersebut disimpan di empat Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ATM di seluruh negara.

Program vaksinasi fasa pertama warga ATM dijangka selesai pada 30 April ini, manakala 79,041 lagi pegawai dan anggota ATM akan menerima vaksin dalam fasa kedua. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here