SOP Covid-19: Kompaun jangan sampai mufliskan rakyat – Najib

0
2

DATUK Seri Najib Razak risau rakyat tidak berpuas hati dan marah susulan kompaun kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 dinaikkan sehingga RM10,000 yang berkuat kuasa 11 Mac ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata selepas kompaun dinaikkan, ia menjadikan Malaysia antara denda ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling tinggi dikenakan dalam dunia.

“Saya sokong hukuman yang lebih berat bagi mereka yang langgar SOP Covid-19 namun bukan semua SOP PKP adalah sama serius dan tidak patut dipukul rata.

“Misalnya tidak pakai/salah pakai pelitup muka, gagal mematuhi penjarakan fizikal atau keluar rumah tanpa alasan kukuh berbeza dengan ingkar kuarantin wajib, potong gelang kuarantin, rentas negeri tanpa kebenaran, gagal melapor diri sebagai kontak rapat kes positif atau berpesta ketum beramai-ramai di hotel/rumah sewa.

“Bagi kesalahan kurang serius melibatkan bilangan rakyat paling ramai yang mungkin berpunca daripada kesilapan tidak sengaja, hukumannya perlu kepada pengajaran dan perlu dinaikkan secara progresif – bukan untuk memufliskan rakyat,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai contoh bagi kesalahan yang kurang serius, dendanya boleh dinaikkan secara progresif.

“Kesalahan pertama: RM1,000; kesalahan kedua: RM3,000; Kesalahan ketiga: RM6,000
Kesalahan keempat dan seterusnya: RM10,000.

“Kaedah hukuman progresif ini diguna pakai oleh beberapa negara lain dan diterima rakyat di sana sebab tiada sesiapa akan bersimpati kepada pesalah degil yang berulang-kali melanggar SOP.

“Tapi jika terus didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama, ramai tidak akan berpuas hati,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, SOP juga patut konsisten dan tidak boleh sering ‘flip-flop’ sehingga pegawai penguat kuasa dan rakyat pening kepala.

“Selepas denda dinaikkan, kemarahan rakyat tentu turut naik mencanak jika berlakunya lagi dwi-standard antara hukuman pada rakyat biasa dengan ahli politik.

“Ia menjadi lagi parah bagi wakil rakyat sebab sebarang denda yang melebihi RM3,000 akan menyebabkan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat,” katanya.

Semalam, menerusi laporan media, kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.

Selain itu, kompaun bagi syarikat atau sesuatu pertubuhan perbadanan yang didapati melakukan kesalahan sama turut dinaikkan sehingga RM50,000. -Malaysiapost.


Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/25/kompaun-langgar-sop-covid-19-dinaikkan-kini-rm-10000/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here